16.2.16

Pengalaman Cemas Sewaktu Kipas Kapal Terbang Berhenti Berputar Di Udara


Seringkali apabila menaiki penerbangan jarak jauh di waktu malam, kapal terbang bergegar kerana melanggar awan. Pernah juga satu ketika pramugari bertugas duduk berlutut di tepi kerusi saya kerana gegaran yang kuat.

Melihat wajahnya yang cuba mengawal diri dan masih cuba kelihatan tenang, mahu saja saya ucapkan tahniah di ketika itu juga. Tapi apakan daya, ketakutan dalam diri membuatkan mulut lebih banyak terkumat kamit membaca surah yang terlintas di kepala.

Tapi bagaimana jika kita lihat sendiri kipas kapal terbang yang sedang dinaiki berhenti berputar sewaktu ia masih di udara? Itulah yang telah dilalui oleh Dr Wan Johan Ariff sewaktu dalam perjalanan beliau dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ikuti kisah Dr Wan Johan di bawah.

kapal-terbang-3

“Semalam, saya benar-benar terkesan terasa seperti nyawa tercabut apabila kapal terbang yang saya naiki melambung apabila melanggar awan, kipas sayap kanan terhenti. Jeritan memohon maaf kepada Allah oleh penumpang belakang saya masih terngiang-ngiang hingga ke saat ini.

Apa yang boleh saya katakan, pengalaman itu benar-benar membuatkan saya menghargai hidup dan orang di sekeliling yang saya sayangi. Saya dah banyak kali menaiki kapal terbang. Dan kali ini, boleh saya katakan yang PALING NGERI dan AMAT NGERI yang pernah saya lalui.

Cuaca pada hari itu agak baik dari Kelantan. Namun apabila 10 minit terakhir menghampiri Lapangan Terbang Subang, juruterbang memaklumkan kepada penumpang bahawa cuaca di bawah agak berkabus, dan kapal terbang akan melalui awan tebal.

Secara tiba-tiba, kapal ‘tersentak’ dan kami semua seolah-olah terapung dan terpelanting dengan amat kuat. Ianya berlaku hampir 4 kali. Terasa kapal terbang terhuyung-hayang. Penumpang di belakang saya terus bangun dan menjerit;

“Ya Allah, Aku Minta Maaf!”, “Ya Allah, Aku Nak balik!” berulang kali.

Saya benar-benar terkesan dengan jeritan kuat lelaki tersebut. Semua penumpang lain tergamam dan pramugari yang bertugas terus menenangkan penumpang tersebut.

Tempat duduk saya sebaris dengan sayap berkipas kapal terbang. Penumpang sebelah mencuit tangan saya dan menunjukkan ke arah luar tingkap, dan memberitahu bahawa kipas tersebut terhenti. Namun kipas di sebelah masih berfungsi. Saya terus beristighfar.

Beberapa saat kemudian, juruterbang sedar akan masalah itu dan membuat pengumuman lantas menenangkan serta mengingatkan kami agar terus berada di tempat duduk dan mengikat dengan kuat tali pinggang.

Apabila kapal terbang terapung dan salah satu kipas tidak berfungsi apabila melanggar awan, dan semua penumpang terapung seolah-olah telah ke syurga.

Kapal terbang berada dalam keadaan yang senget untuk beberapa ketika, mungkin disebabkan oleh kipas yang tidak berfungsi.

Namun, Alhamdulillah, kami mendarat dengan selamat walaupun pendaratan agak mencemaskan dengan hentakan yang berbeza daripada pendaratan sebelum ini yang pernah saya lalui.

Harus saya katakan di sini, kakitangan kapal terbang tersebut menjalankan tugas dengan penuh professional. Pramugari yang bertugas sentiasa tersenyum walaupun saya dapat melihat, mereka juga berada dalam keadaan ketakutan.

Terima kasih kepada kakitangan Firefly yang kekal bertenang dalam penerbangan mencemaskan tersebut.

Mungkin apa yang saya alami ini adalah suatu yang biasa bagi sesetengah orang. Namun, saya katakan sekali lagi, ini pengalaman paling ngeri sepanjang hidup saya semasa menaiki kapal terbang.”

kapal-terbang-1

Semalam, saya benar-benar terkesan terasa nyawa tercabut Apabila kapal terbang yang saya naiki melambung terlanggar awan, kipas sayap kanan terhenti. Jeritan moon maaf kepada Allah oleh penumpang belakang saya masih terngiang-ngiang hingga ke saat Ini.

Saya tinggalkan sementara waktu kerja saya pada malam ini untuk bersama mereka.

Sewaktu saya menghubungi Dr Wan Johan di Facebook beliau, sekali lagi Dr Wan Johan mengatakan semua ini pengalaman berharga buat beliau. Di akhir message, beliau sempat berkata; terima kasih Allah.

Meskipun begitu kejadian ini tidak akan sekali-kali membuat beliau serik untuk terus menaiki kapal terbang di masa depan. Malahan ia turut menjadikan beliau lebih menghargai setiap detik dan saat yang dilalui bersama insan tersayang.

Baca lagi: Peringatan Menginsafkan ‘Bila Kita Mati Tiada Lagi Yang Menziarahi’

1 comment:

  1. Assalammualaikum. saya Wan Johan, empunya cerita yang sebenar. saya amat berharap agar artikel ini dapat digugurkan serta merta / secepat mungkin dari blog anda. Mohon kerjasama anda bagi mengelakkan sebarang salah sangka dan perkara yang tidak diingini. wassalam

    ReplyDelete